Kota Gelanggi Penuh
Misteri
Tidak jauh dari kampung Pulau Tawar
di mana bersemadinya Allahyarham Pahlawan Mat Kilau terdapat sebuah
tempat yang penuh dengan rahsia dan bersejarah. Tempat tersebut ialah Kota
Gelanggi terletak kita-kira 16 batu daari bandar Jerantut. Pelawat-pelawat dan
peminat-peminat alam semulajadi sering datang ke Kota Gelanggi menikmati dan
mengkagumi keindahan sekitarnya serta menjelajah gua-guanya yang banyak itu.
Untuk sampai ke sana tidaklah
menyulitkan kerana kita boleh menaiki kereta, motorsikal atau bas. Kenderaan
boleh sampai terus ke kaki Kota Gelanggi melalui sebatang jalan tanah merah
yang dibina khas. Di Kampung Pulau Tawar atau di Kampung Bukit Rang kita boleh mendapat pertolongan dari beberapa orang pandu
yang berpengalaman dan tahu jalan-jalan dan gua-gua di kota itu supaya lawatan kita itu
lebih bererti.
Salah seorang pandu yang terkenal
ialah Encik Khatib Mahmud bin Haji Mohd Ali 72 tahun. Beliau yang juga sebagai
pawang kampung itu telah menjadi pandu ke Kota Gelanggi lebih daripada 20
tahun. "Semuanya ada tujuh buah kota tetapi yang dapat kita masuk ke
dalamnya empat buah sahaja," katanya.
Kota yang tujuh buah itu bernama
Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin, Kota Balai, Kota Papan, Kota Jin dan Kota
Kepayang. Mengikut ceritanya Kota Gelanggi tersebut adalah berasal daripada istana seorang raja di zaman dahulu yang telah bertukar
menjadi batu kerana ditegur oleh Sang Kelembai. Kota Tongkat adalah kota yang mula-mula sekali kita lalui yang merupakan pintu gerbang
tersergam dengan hebatnya.
Kota yang kedua ialah Kota Gelap
kira-kira ¼ batu jaraknya dari Kota Tongkat tadi. Sebagaimana namanya kota ini
sangat gelap keadaannya. Lampu picit, lilin atau obor adalah perlu bagi melihat
keadaan di dalamnya. Di dalam kota ini terdapat suatu jurang yang dalam dan
gelap di mana di dasarnya ada sebuah sungai.
"Beberapa waktu dulu kita boleh
menangkap udang-udang yang naik ke atas tebing jurang ini kerana hendak memakan
tahi kelawar," ujar Encik Mahmud. Beberapa lembaga manusia yang sedang bersanding daripada batu terdapat di dalam Kota Angin. Sayangnya kini
lubang yang menuju ke tempat lembaga tersebut telah tertutup oleh proses alam
dan lembaga itu tidak lagi dapat dilihat.
Di kota ini dipercayai sebagai
tempat puteri-puteri Bunian bermain-main. Menerusi Kota Angin ini kita boleh
mendaki ke puncaknya. Di situ terdapat sepohon mempelam yang bercabang dua.
Jika pohon mempelam itu berbuah, buahnya dari tiap-tiap cabang itu dikatakan
mempunyai rasa yang berlainan.
Raja yang empunya Kerajaan Gelanggi
itu kononnya ada mempunyai seorang puteri yang amat cantik bernama Puteri
Mayang Mengurai. Tuan Puteri tersebut telah berkasih-kasihan dengan seorang saudara sepupunya yang bernama Puter Usul. Seorang raja
dari negeri lain telah datang meminang Puteri Mayang Mengurai.
Banginda Raja Gelanggi yang tidak mengetahui akan perhubungan sulit puterinya lantas menerima pinangan anak raja yang bernama
Raja Mambang itu. Putera Usul telah sakit hati dan menaruh dendam. Ketika
upacara persandingan dijalankan Putera Usul telah datang mencabar Putera Mmambang dan berlakulah satu pertarungan yang sengit dan huru-hara. Waktu
itulah munculnya Sang Kelembai sambil mulutnya menegur huru-hara yang
dilihatnya itu. Dengan serta merta bertukarlah manusia-manusia berserta istana
raja menjadi batu.
Beberapa orang pelancong luar negeri pernah datang hendak membuat penyelidikan dan ujian yang luar biasa. Antaranya lima orang berbangsa Norway telah datang ke Kota Angin meminta Encik Mahmud membuat perhubungan
dan berbual-bual dengan orang-orang halus (Bunian). Perbualan itu mereka hendak
rakamkan ke dalam pita rakaman tetapi beliau enggan memenuhi permintaan
tersebut.
"Saya tak sanggup nak buat
begitu. Mereka panggil pula pawang lain tapi tak sanggup juga," ujarnya.
"Di sini kita tak
boleh buat tak tentu maklumlah tempat 'orang'. Mereka
yang melanggar pantang-larang seperti itu pernah menjadi tidak betul
fikirannya," tambahnya lagi.
Kota Balai mengikut ceritanya
adalah sebagai tempat orang Bunian mengadakan upacara-upacara, jamuan dan
sebagainya. Satu lembaga dari batu yang menyerupai seekor penyu yang
besar terdapat di dalamnya. Di dalam salah satu lorong di Kota Balai itu Encik
Mahmud pernah bertemu dengan satu kesan tapak kaki yang panjangnya lebih dari satu
hasta. Beberapa buah batu besar yang bergemerlapan dan besinar-sinar seperti
ditaburi dengan intan tumpah lakunya boleh dijumpai di dalam beberapa buah gua
di Kota Gelanggi.
Perjalanan mendaki Kota Tinggi
mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja. Kota Tinggi mempunyai sebuah gua
besar yang seumpama sebuah dewan di mana terdapat sangat banyak kelawar
bergayutan. Di sini terdapat seekor ular putih kira-kira 5 kaki panjangnya.
Ganjilnya ular putih itu mempunyai kulit yang berwarna hitam dari tengah
badannya sampai ke bahagian ekornya.
Menurut Encik Mahmud ada sebuah lagi
kota yang tidak diketahui oleh orang. Kota tersebut digelar Kota Rehok telah
ditemui oleh beliau bersama beberapa orang lain ketika mencari tapak paya
beberapa lama dahulu. Mengenai Kota Gelanggi beliau menerangkan:
"Sebenarnya Kota Gelanggi itu sangat susah hendak ditemui. Orang-orang
tertentu atau orang yang tersesat sahaja yang boleh bertemu dengannya."
"Di Kota Gelanggi itu khabarnya
terdapat tempat-tempat yang bernama Pasir Nilam dan Padang Berembun iaitu itu
tempat tinggal orang Bunian," katanya lagi.
Kota Gelanggi boleh menjadi satu
tempat pelacongan yang lebih baik dan menarik lagi jika pihak-pihak yang
berkenaan seperti Perbadanan Kemajuan Pelacongan Negeri Pahang misalnya
berusaha memelihara alam semulajadi yang terdapat di situ. Papantanda yang
sesuai patutlah didirikan di simpang masuk ke Kota Gelanggi. Begitu juga
papantanda-papantanda yang menerangkan nama-nama kota yang berkenaan dan
sejarahnya secara ringkas sangatlah baiknya diadakan pada tiap-tiap pintu gua
tersebut.ٱ